EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

10 Model Fesyen Paling Unik Di Dunia


Bila sebut tentang kerjaya model, sudah semestinya tergambar dalam kepala orang ramai golongan wanita yang memiliki rupa paras menarik, berkulit putih, berkaki panjang, kurus dan tinggi lampai sedang berjalan ala catwalk sambil memperagakan koleksi pakaian rekaan ternama di atas pentas. Namun tahukah anda bahawa ramai model terkenal tidak mempunyai ciri-ciri tersebut, malah ada yang menjadi perhatian dunia fesyen antarabangsa kerana kelainan fizikal mereka yang dianggap unik? 

Kehadiran model-model ini membuktikan kepada dunia bahawa rupa yang cantik tidak semestinya menjadi tarikan utama dan akan menjadi ikutan masyarakat dalam industri fesyen, tetapi perbezaan diri individu yang membawa kesegaran dan kelainan dalam industri itu yang sentiasa dahagakan perubahan trend. 


1. Andreja Pejic

Berasal dari Bosnia, Andreja dilahirkan sebagai lelaki dan nama asalnya ialah Andrej. Semasa dia masih kanak-kanak, keluarga Andreja telah melarikan diri ke Australia akibat pergolakan di Bosnia. Andreja diambil sebagai model di bawah label Jean Paul Gaultier pada usia 17 tahun, dan oleh kerana rupanya yang feminin Andreja bukan sahaja memperagakan koleksi pakaian lelaki, malah pakaian wanita juga. Seusai proses penukaran jantina dari lelaki ke wanita, Andreja mencatit sejarah sebagai model transgender pertama yang dilantik menjadi duta produk kosmetik terkenal.


2. Casey Legler

Casey Legler telah memecah tradisi Ford Models kerana menjadi model wanita pertama yang memperagakan koleksi pakaian lelaki di bawah label fesyen tersebut. Model yang menyerupai lelaki tampan ini berharap dapat membantu golongan muda yang mengalami masalah kecelaruan identiti agar mengenali diri mereka melalui dunia permodelan yang diceburinya. Erika Linder dan Elliot Sailors merupakan generasi model baru yang mengikut jejak langkah Casey sebagai model wanita menyerupai lelaki.


3. Erika Ervin

Terkenal dengan wataknya sebagai Amazon Eve dalam siri ‘American Horror Story: Freak Show’, Erika mempunyai ketinggian 6 kaki 8 inci yang melayakkannya masuk ke dalam catatan Guiness World Record pada tahun 2011 sebagai model paling tinggi di dunia.


4. Madeline Stuart

Kemunculan Madeline Stuart di atas pentas sempena New York Fashion Week pada September 2015 mengejutkan orang ramai kerana dia merupakan penghidap Down Syndrome pertama yang menjadi model. Madeline ingin mengubah perspektif masyarakat terhadap orang-orang kelainan upaya melalui kerjayanya dalam bidang permodelan.


5. Melanie Gaydos

Disahkan menghidap penyakit ectodermal dysplasia yang menyebabkan tumbesaran abnormal pada gigi, kuku dan tulangnya oleh doktor, Melanie Gaydos juga mengalami masalah daya penglihatan serta penyakit alopecia. Ini tidak menghalang Melanie untuk menceburi bidang permodelan dan bakatnya direalisasikan setelah Melanie menyahut pencarian ‘model unik’ oleh jurufoto fesyen dalam iklan Craiglist. 


6. Molly Blair

Sesiapa yang bertemu dengan Molly Blair pasti akan menyangka bahawa dia menghidap penyakit anoreksia disebabkan bentuk badannya yang luarbiasa kurus dan tinggi. Molly juga sering dibuli oleh pelajar-pelajar lain di sekolah yang memberinya gelaran ‘makhluk asing’ dan ‘mentadak’. Bakat permodelan remaja tersebut mula dicungkil sejak dia ditemui oleh seorang agen fesyen di sebuah pasar karat di New York dan dia kemudiannya menyain kontrak dengan ELITE London untuk memperagakan koleksi pakaian mereka.


7. Rick Genest

Rick Genest lebih dikenali dengan gelaran ‘Zombie Boy’ disebabkan tubuhnya yang penuh dengan tatu illustrasi rangka. Dia merupakan model lelaki yang unik kerana sentiasa memperagakan pakaian dengan rupa seperti tengkorak hidup. Rick pernah tampil dalam klip video Lady Gaga berjudul ‘Born This Way’ dan ramai penonton yang tertanya-tanya sama ada tatu pada keseluruhan tubuhnya adalah asli atau kulit prostetik yang disarungkan ke badannya. Dia merupakan jurucakap lelaki pertama bagi syarikat L’Oreal.


8. Shaun Ross

Sebagai seorang remaja berketurunan kulit hitam yang lahir dengan kulit albino, Shaun Ross berjaya memikat hati jurufoto fesyen yang mengenalinya melalui YouTube, di mana Shaun telah memuatnaik video tariannya. Remaja berusia 16 tahun tersebut dilantik sebagai model sempena New York Fashion Week dan lama-kelamaan Shaun muncul dalam pelbagai majalah dan pertunjukan fesyen.


9. Tess Holliday

Dengan saiz badan besar luarbiasa (saiz 22), Tess Holliday menggegarkan dunia fesyen melalui penampilannya sebagai model berbadan paling besar. Tess menganjurkan kempen ‘Eff Your Beauty Standards’ di Instagram sambil membawa mesej kepada orang ramai untuk menolak piawaian kecantikan berdasarkan saiz badan yang ditentukan oleh masyarakat.


10. Winnie Harlow 

Winnie Harlow menghidap penyakit vitiligo  yang menyebabkan beberapa kawasan kulit pada badannya kehilangan pigmen. Disebabkan masalah kulitnya, Winnie telah dibuli di sekolah sehingga dia membuat keputusan untuk berhenti belajar. Bakatnya sebagai model terserlah selepas Tyra Banks menemui akaun Instagram milik Winnie dan menggalakkan Winnie menyertai rancangan America’s Top Model yang dikendalikan olehnya. Winnie kemudian dilantik menjadi duta jenama fesyen Desigual, membintangi beberapa video lagu, serta menjayakan kempen Diesel.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan