EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

MLM Ambil Kesempatan Menipu Blogger?


Awal bulan lalu Ayuni mendapat jemputan daripada sebuah syarikat dari Bangsar yang menghasilkan produk minyak essential oil. Seronoklah hati Ayuni sebab dapat peluang untuk menambah lagi wang belanja makan melalui satu lagi review job. Dahlah kebetulan awal bulan itu memang duit dah banyak habis digunakan untuk membayar bil utiliti dan kad kredit. 

Dapat jemputan untuk menulis review dari sebuah syarikat. Nampak seperti tawaran biasa, tetapi rupa-rupanya ada udang di sebalik char kway teow.

PR syarikat tu menjemput Ayuni datang ke showroom mereka yang terletak berdekatan stesen LRT Bangsar untuk tujuan mencuba produk mereka. Dalam fikiran Ayuni terbayang produk menarik yang boleh dibawa pulang untuk ditulis dalam review seterusnya. Sebelum bersetuju untuk datang ke pejabat mereka, Ayuni bertanyakan kepada PR sama ada review berbayar, maklumat lanjut latar belakang syarikat dan produk yang ingin mereka buat kolaborasi bersama blogger. Lepas berbual lama tu baru Ayuni membuat janji dengan PR untuk bertemu di pejabat mereka. 

Sambil itu Ayuni tertanya-tanya juga siapa blogger yang dapat jemputan sama dan akan pergi ke pejabat syarikat itu dengan Ayuni nanti. Jadi Ayuni pun letak status dalam Facebook bertanya siapa yang akan pergi. Dapat jawapan dari beberapa orang blogger yang beritahu mereka pergi pada tarikh dan masa yang berlainan. Tiba-tiba rasa pelik... takkan Ayuni pergi seorang sahaja?


Memandangkan pejabat syarikat tersebut dekat sahaja dengan tempat kerja Ayuni, Ayuni pun ambil LRT untuk sampai ke sana pada hari Jumaat sebab masa tu Ayuni tak ada kuliah selepas tengahari. Cuaca sangat panas pada masa itu, jadi sambil menunggu masa pertemuan Ayuni beli air minuman kotak untuk hilangkan dahaga lalu mencari pejabat yang dikatakan PR. Ayuni hantar WhatsApp kepada PR tersebut untuk memberitahunya Ayuni dah sampai, tetapi tiada jawapan balas. Masa mencari pejabat tu Ayuni rasa pelik kenapa PR dia tak dedahkan nama syarikatnya dalam mesej sebelum ini. Jenuh Ayuni mencari di mana showroom mereka, itu pun jumpa bila ternampak botol minyak di luar bilik pameran yang kelihatan serupa seperti dalam gambar yang dia tunjuk sebelum ini.

Sempat mengambil gambar di dalam showroom sebaik sahaja sampai di sana untuk sesi "menguji produk".

Showroom itu cuma ada ruang pameran dan jualan. Ramai orang-orang tua berbangsa Cina dan India membeli di situ. Seorang makcik India yang terlihat Ayuni di situ segera memberi senyuman lalu bertanya kalau Ayuni nak beli barang menggunakan akaun ID miliknya. "Murah tau kalau beli guna membership," jelasnya. Ayuni menolak tawaran makcik itu dengan lembut lantas terus mencari pejabat pengurusan syarikat itu. Hati dah mula rasa gelisah apabila menyedari Ayuni tak nampak langsung batang hidung mana-mana blogger yang Ayuni kenal. Setelah selesai berlegar-legar di dalam ruang showroom seorang diri, Ayuni cuba menelefon PR itu. Panggilan tak diangkat. Ayuni pun merayau ke bawah tingkat bangunan tersebut dan ternampak pejabat yang mempamerkan logo syarikat itu. Nasib baik masih sempat mengejar masa temujanji. Namun apa yang berlaku seterusnya amat menyakitkan hati Ayuni dan sehingga kini Ayuni rasa tak puas hati dengan syarikat tersebut bila teringat kembali layanan buruk mereka.

Sebaik sahaja Ayuni masuk dalam pejabat tersebut, Ayuni terus beritahu kepada orang yang jaga kaunter tujuan Ayuni datang ke situ dan memberitahunya nama PR yang menjemput Ayuni. Wajah penjaga kaunter itu tiba-tiba macam pelik, macam tak pernah tahu tentang program itu. Dia cuma suruh Ayuni duduk dan tunggu di situ. Ayuni pun menunggu selama setengah jam. Hati dah mula rasa tak sedap. Bila tengok jam dah menunjukkan pukul 2:30 p.m, Ayuni minta penjaga kaunter tu telefon PR tersebut, tapi alangkah terkejutnya Ayuni bila dia suruh Ayuni guna telefon sendiri! 

Walaupun hati dah menyumpah-nyumpah penjaga kaunter tu, Ayuni cuba menelefon juga PR tersebut sekali lagi. Panggilan tak diangkat lagi. Dahlah cuaca di luar panas, hati di dalam lagilah panas. Ada seorang staf perempuan Cina yang memakai singlet dan seluar jeans sekejap-kejap keluar dan masuk pejabat itu pun langsung tak pandang Ayuni, apatah lagi cuba bertanya Ayuni nak jumpa siapa. Rasa macam dah nak angkat kaki masa itu sebab geram dengan kebiadaban PR dan staf syarikat, tetapi disebabkan teringat nak buat review berbayar maka Ayuni tetap tunggu juga. Setelah hampir sejam menunggu, Ayuni pun terpaksa kejar perempuan Cina tu dan beritahu dia Ayuni nak jumpa PR. Perempuan tu kata PR itu dah keluar makan tengahari, tetapi dia bawa Ayuni jumpa eksekutif pemasaran mereka dalam pejabat yang dah lama duduk dalam bilik itu. Masuk bahagian ini Ayuni dah mula rasa tak sedap hati dan nak cabut sahaja dari tempat itu....

Masa eksekutif pemasaran tu perkenalkan dirinya dan perempuan tu, Ayuni terkejut bila mendapati perempuan itu ialah salah seorang PR yang menjemput blogger untuk datang buat kolaborasi dengan syarikat yang sama (sebab Ayuni dapat dua jemputan yang sama tetapi Ayuni memberi butiran kepada PR yang kedua). Ayuni terkejut sebab rupa dia macam staf biasa saja dan langsung tak menunjukkan macam dia faham apa yang dia perlu buat untuk sesi "menguji produk" itu. Ini membuat Ayuni terfikir adakah "PR" yang Ayuni dah berjanji nak berjumpa itu sebenarnya cuma staf biasa yang disuruh untuk buat iklan memanggil blogger?

Masa itu baru "PR" yang Ayuni cuba hubungi telefon Ayuni balik. Dia meminta maaf tak dapat jumpa sambil bagi alasan bahawa dia ada pelanggan lain yang perlu dilayan. Masa itu hati dah mendidih bila dengar alasannya - biadab sungguh! Ingat orang ni apa dah datang tepat pada masa perjanjian dan menunggu macam orang bodoh di situ... lepas itu boleh pula kata terpaksa layan orang lain pada masa yang sama???

Mood Ayuni menjadi bertambah tak baik sepanjang perbualan dengan eksekutif pemasaran yang menggelar dirinya Alex itu. Sudahlah 2 jam dia bagi penerangan yang membosankan tentang program affiliate mereka dalam pejabat yang sempit dan kecil itu, tiada satu cawan teh mahupun biskut disajikan sepanjang masa Ayuni menahan diri daripada bertanya, "Mana produk untuk review tu?" Ini merupakan satu kesalahan besar - biasanya Ayuni tidak akan maafkan orang yang tidak menyaji sedikit makanan dan minuman kepada Ayuni apabila tengah lapar, terutama sekali pada waktu makan tengahari...

Satu lagi perkara yang membuat Ayuni tak suka dengan Alex ialah cara dia bercerita manis tentang kebaikan menyertai program affiliate syarikat mereka sambil memburukkan program affiliate syarikat lain. Nak tergelak sahaja mendengar dia bercerita sedemikian padahal dia sendiri pun cuma guna air liur sahaja untuk menarik blogger mempromosikan produk mereka. Nasib baik sempat minum air kotak minuman yang dibeli di 7-Eleven tadi... itu pun pakai duit yang kita keluarkan sendiri selain duit tambang pergi ke pejabat dia. Bila ditanya apa akan jadi sekiranya Ayuni memilih untuk buat review berbayar sahaja dan tak mahu sertai affiliate mereka, air mukanya terus berubah dan dia jawab mereka akan bayar hanya lepas tengok blog itu. Kemudian Alex membuat satu lagi kesalahan besar yang menyebabkan Ayuni terus angkat kaki meninggalkan pejabatnya sebelum rasa hendak melempangnya di situ juga - dia kata, "Mari saya buatkan keputusan untuk awak. Awak masuk program affiliate kami dan isi borang ini."

Tiada siapa yang berani hendak buatkan keputusan untuk Ayuni, okey? Tiada siapa! Kurang ajar betul.

Nak tahu apa lagi yang sangat kurang ajar tentang syarikat itu? Bukan dia yang bayar blogger untuk tulis review, malah dia suruh blogger bayar dulu RM70 untuk sertai affiliate mereka baru boleh buat review. Lagi satu semasa staf perempuan tu bawa Ayuni melawat showroom, dia beritahu Ayuni bahawa mereka tak akan bagi produk percuma kepada blogger. Kena beli dulu baru boleh buat review. Bila menyedari mereka cuba kencing Ayuni, terus Ayuni menolak balik kertas borang ke depan muka Alex dan beritahu dia bahawa Ayuni akan kembali Isnin depan. Ayuni tipu.

Rasa lega dapat melarikan diri segera daripada pejabat tersebut sebelum mereka cuba nak paksa untuk mendaftar. Baru Ayuni tahu kenapa mereka tak panggil blogger beramai-ramai macam syarikat lain buat. Baru Ayuni tahu kenapa mereka tak nak hantar produk percuma untuk direview seperti syarikat lain buat. Baru Ayuni tahu...

Balik saja terus Ayuni meluahkan perasaan marah dalam Facebook terhadap pengalaman hari itu.

Rupa-rupanya ramai blogger yang menjadi mangsa syarikat terbabit juga selain daripada Ayuni. Baru-baru ini ada seorang blogger yang mengadu bahawa dia pun mengalami pengalaman yang sama seperti Ayuni, cuma bezanya dia dah isi borang tersebut.

Kasihan Izarra Qistina :(

Rasa geram pula bila dapat tahu ada rakan blogger yang dah terkena dengan syarikat itu. Ada yang cerita dia pernah mendaftar tetapi kemudiannya dapat tahu kredit dalam ID akaun miliknya digunakan oleh salah seorang staf syarikat tersebut untuk membeli barang apabila dia tak aktif. Rata-rata ramai blogger yang tak puas hati dengan penyalahgunaan pemasaran dan perniagaan syarikat tersebut. Blogger Hanny Abdullah pun siap pergi bertanya kepada PR tu sendiri untuk mengetahui cerita sebenarnya.

Perbualan antara kak Hanny dengan PR syarikat tersebut.

Bagi Ayuni apa yang syarikat tersebut buat memang satu penipuan dan boleh dilaporkan kepada Tribunal Pengguna. Jika anda seorang blogger yang menerima mesej jemputan sama daripada syarikat terbabit, sila tekan delete saja. Usah buang masa anda.

10 ulasan:

  1. PR ini sedang menghubungi irda sekarang...huh..nasib baca entry ni..terima kasih ayuni

    BalasPadam
  2. OMG! Bulan Lepas saya ada pergi terasa sangat membazirkan masa serta wang ringgit bayar tol semua lepas tu rupanya suruh sertai program yang disebut siap disuruh bayar patut hati rasa tak sedap. Mujur tak terpikat langsung terus angkat kaki keluar. Geram rasa.

    www.fatinamdzfr.blogspot.com

    BalasPadam
  3. akak sepatutnya pergi isnin depan tp syukurla baca status fb blogger yg terkena sebelum tu, hmmm memang marah baca entri ni

    BalasPadam
  4. oooo..mcam tu rupanya cerita sebenarnya..baru tahu..

    BalasPadam
  5. Oh nasib baik baca entry ni..sy pun dpt job ni tp dah tolak sbb jauh nun jauh seberang laut china selatan..hehee

    Kena hati2..jgn terperangkap je

    BalasPadam
  6. Yeop pun ada terdengar pasal tu. Tapi tak berapa detail sangat.

    Baru nak tanya Ayuni pasal syarikat tu, sebab yeop teringat Ayuni pergi ke sana.

    BalasPadam
  7. Geram je rasa. Sedap2 je nak gunakan blogger sampai siap paksa2 lagi. Paling tak boleh blah part yang dia nak buatkan keputusan utk ayuni tu. adess. dah la mintak blogger buat review product then product tu blogger pulak kena bayar. gila ke apa kan. Btw tqq ayuni share pasal ni

    BalasPadam
  8. Nasib baik bagi tau. Saya belum bagi jawapan kpd dia lagi..

    BalasPadam
  9. Wow. Thanks utk entri ni sbb x pernah tahu benda mcm ni boleh berlaku. Nampak sgt penipuan dia. Kalau sy kat situ dah siap akan sound org kat situ. Patut dedahkan je company mana supaya takde lg blogger yg terkena. Peringatan utk diri sendiri.

    BalasPadam
  10. Akak pun antara mangsa..penat, buang masa,lapar, haus semua ada..next time mmg kena hati2

    BalasPadam