EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

Pengemis Antarabangsa Bermewah Di Malaysia

Siapa sangka bahawa aktiviti mengemis boleh menjadi kerjaya yang membawa hasil lumayan, malah membolehkan pengemis merantau ke serata dunia secara mewah melalui wang pemberian orang ramai sahaja?

Benjamin Holst, 32, pengemis antarabangsa dari Jerman.

Benjamin Holst, seorang pengemis profesional dari Jerman, baru-baru ini ditemui giat mengemis di hadapan bangunan Dewan Bahasa dan Pustaka sebelum kembali ke bilik hotel di mana dia menginap di Bukit Bintang, Kuala Lumpur. Dia dilihat memegang sebiji cawan kertas sambil meminta derma dari beberapa penunggang motorsikal dan pemandu kereta di tepi jalanraya. Agak menarik apabila didapati ramai rakyat Malaysia memberi derma kepada Benjamin secara sukarela, hingga ada yang sanggup merentasi seberang jalan semata-mata hendak memberikan wang kepada Benjamin. 

Ramai orang berebut-rebut hendak memberi derma kepada Benjamin Holst, yang kemudiannya menggunakan wang tersebut untuk berseronok bersama minuman keras dan pelacur.

Pengemis berusia 32 tahun tersebut baru sahaja bercuti dari Vietnam dan kini dia mengunjungi Malaysia untuk meneruskan aktiviti mengemisnya. Ini merupakan kali kedua Benjamin datang mengemis di Malaysia. Dia amat menyukai Malaysia kerana orang-orangnya yang pemurah dan baik hati. Bagi Benjamin, pemberian derma oleh orang-orang Malaysia memberinya peluang untuk melancong ke Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, dan berparti dengan minuman keras dan gadis-gadis di sana.

Status Facebook Benjamin Holst seusai dia mengemis di Kuala Lumpur.

Benjamin menunjukkan bilik hotel di mana dia menginap pada malam itu.

Sebelah kaki kanan Benjamin mengalami penyakit untut (kakinya membengkak sehingga menjadi lebih besar daripada saiz normal) namun keadaan fizikalnya yang kurang sempurna tidak membatasi pergerakan Benjamin untuk mengemis dari sebuah negara ke negara yang lain. Disebabkan keadaan kakinya, ramai yang menyangka bahawa Benjamin memerlukan bantuan kewangan untuk pulang ke Jerman. Namun begitu perkara sebenar adalah sebaliknya - Benjamin seronok menikmati masa lapangnya dia bar dan pusat pelacuran di Asia Tenggara dan jika boleh dia tidak mahu kembali ke negara asalnya.

Netizen dari serata Asia Tenggara berkongsi status tentang Bejamin Holst sambil meminta orang ramai membantunya agar dia dapat kembali ke Jerman. Namun perkara sebenar adalah sebaliknya.

Laman Facebook Benjamin penuh dengan gambar-gambarnya berseronok bersama pelacur-pelacur di pelbagai bar serta hotel mewah dengan wang hasil mengemis yang diperolehinya di Filipina, Hong Kong, Vietnam, Malaysia, Thailand, Kemboja dan Indonesia. - A.Rafilah.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan