EVENT | REVIEW | IKLAN

Tel: +6018-2043980
Email: abnormallight@gmail.com
Instagram: @ayunirafilah

        

Halaman

Siapa Sangka Dalam Kuala Lumpur Ada 'Istana Sepanyol' Yang Tersergam Indah?


Pada Rabu lalu Ayuni dengan rakan-rakan sepejabat Ayuni telah singgah di sebuah bangunan yang mirip istana atau rumah agam Sepanyol. Kawasan tersebut amat besar dan luas namun tidak ramai yang tahu kewujudan bangunan itu yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bergambar bersama rakan-rakan sepejabat di depan "istana Sepanyol" yang terletak di tengah-tengah bandaraya Kuala Lumpur.

Bangunan yang dimaksudkan sebenarnya merupakan salah satu kampus pendidikan di bawah pentadbiran Universiti Islam Antarabangsa yang dikenali sebagai IIUM CRESCENT (Centre for Strategic Continuing Education and Training). Dahulunya ia dikenali sebagai ISTAC (International Institute of Islamic Thought and Civilisation). Bangunan IIUM CRESCENT terletak berhampiran Kompleks Kerajaan Jalan Duta. 

IIUM CRESCENT

Kampus ini merupakan hasil gabungan 3 unit Kuliyyah di bawah Program Perniagaan Strategik iaitu Graduate School of Management, Hasyim M. Harun Law Centre, dan Institut Bahasa Kemajuan. Tujuan utama penubuhan IIUM CRESCENT adalah menjadi pusat sehenti bagi pelajar matang, sama ada warga tempatan atau warga asing, yang sedang bekerja di Malaysia untuk melanjutkan pengajian mereka di peringkat pascasiswazah. Selain kursus akademik, IIUM CRESCENT juga menawarkan kursus profesional, pelatihan dan kelas bahasa. IIUM CRESCENT menawarkan pelbagai program eksekutif dari taraf pra-universiti hingga ke peringkat pascasiswazah secara sepenuh masa, separuh masa dan jarak jauh. 

Pemandangan dari atas balkoni bangunan. 

Menara akademik yang direka berdasarkan senibina yang sering ditemui di negara Maghribi atau Afrika Tengah.

Air pancut dengan ukiran singa di dataran luar bangunan.

Bangunan kampus IIUM CRESCENT terdiri daripada pejabat pentadbiran, bangunan akademik, perpustakaan, masjid dan dewan. Memang kagum dibuatnya apabila melihat senibina bangunan tersebut berciri Islamik seperti yang sering dilihat di kebanyakan negara Eropah Timur. Terasa seperti benar-benar sedang berada di Granada, Sepanyol. Walaupun bangunan ini dibina pada tahun 1987, suasana sekeliling bagaikan rumah agam atau istana lama dengan kewujudan ukiran bunga halus atas tiang dan pintu gerbang bangunan. Pintu gerbang bangunan pula dibina tinggi dan besar, bentuknya mirip pintu-pintu gereja di England dan Scotland yang Ayuni pernah masuki masa dulu.

Pintu gerbang utama.

Tangga utama kampus.

Pintu yang menghala ke koridor kelas. 
Ia mengingatkan Ayuni kepada bangunan sekolah lama Ayuni.

Suasana dalam salah satu bilik kelas kosong.

Suasana dalam dewan banquet.

Pemandangan dalam masjid.

Semasa memasuki dewan utama, rakan-rakan Ayuni terkejut melihat dewannya mirip ruang dalam gereja. Mereka menjadi lebih terkejut apabila Ayuni bercerita bahawa semasa Ayuni bersekolah dulu, kami pernah membuat perjumpaan dan pementasan dalam ruang seperti ini yang mana kami gelar sebagai 'chapel'. Namun apa yang sebenarnya membuat Ayuni tertanya-tanya ialah siapa arkitek bangunan tersebut kerana senibinanya langsung tidak selari dengan persepsi "Islamik" mengikut kefahaman biasa IIUM. Terdapat ukiran haiwan pada air pancut di dataran dan kini dewan disusun mengikut susunan yang biasa dilihat dalam gereja. Sedangkan di kampus utama di Gombak, pembinaan arca berbentuk keris itu pun sudah menjadi kontroversi. 

Ruang dewan utama yang saling tidak tumpah seperti ruang dalam gereja.
Mengingatkan Ayuni kepada zaman sekolah dahulu.

Satu lagi ruang dewan di aras berbeza. Masa melihat dewan ini lagu 'Ave Maria' dari zaman sekolah mulalah bermain dalam kepala.

Kami meneroka bilik-bilik lain dalam bangunan dan menemui bilik istirehat yang kelihatan mewah dan perpustakaan yang dibahagikan kepada beberapa tingkat mengikut jenis bahan bacaan. Apa yang menarik tentang reka susunan dalaman kampus ini ialah perabot-perabotnya yang diperbuat daripada kayu dan diimport dari luar negara. Ianya nampak antik dan memberi unsur mistik kepada bilik-bilik setiap tingkat, tak ubah seperti dalam filem Harry Potter. Jarang nak dapat lihat rekaan dan bahan perabot seperti IIUM CRESCENT di mana-mana tempat dalam Malaysia. Kemungkinan besar kesemua perabot diimport dari Eropah Timur.

Bahagian siling bilik istirehat yang kelihatan seperti hujung lembing.

Suasana dalam salah satu perpustakaan IIUM CRESCENT.

Perpustakaan IIUM CRESCENT dari pandangan atas.

Selfie...

Kawan tertinggal...

Kawan ditinggalkan...

Syot terakhir sebelum beredar kembali ke pejabat.

Sekembalinya daripada IIUM CRESCENT, Ayuni cuba mencari latar belakang arkitek yang telah mereka binaan bangunan tersebut. Apa yang peliknya, tiada satu info berkaitan arkitek bangunan tersebut ditemui dalam internet. Sehinggalah Ayuni terjumpa jurnal kajian hasil penulisan Dr. Aizan Bt Ali @ Mat Zin dari Universiti Malaya semalam, baru Ayuni berjaya memperolehi maklumat yang Ayuni kehendaki. Menurut Dr. Aizan, bangunan kampus IIUM CRESCENT direka oleh Prof Dr Syed Naquib Al-Attas iaitu seorang ahli falsafah Islam terkenal merangkap pengasas ISTAC itu sendiri. 

Prof Dr Syed Naquib Al-Attas

Semasa masih berada di ISTAC, di pejabat lamanya.

Syed Naquib Al-Attas juga dipercayai bapa kepada konsep peng-Islaman pengetahuan dan pendidikan yang kemudiannya menjadi prinsip diikuti IIUM sehingga sekarang. Beliau berketurunan Arab dan lahir di Bogor, Jawa, dan merupakan saudara kandung Syed Hussein Al-Attas. Syed Naquib Al-Attas dikenali melalui penulisan beliau tentang ilmu Sufi dan pernah dianugerahkan sarjana kedoktoran di UK pada tahun 1965 untuk hasil thesisnya 'The Mysticism of Hamzah Fansuri'. Namun buku tersebut mengundang kontroversi di Malaysia yang secara terang-terangan menolak fahaman Sufi. Syed Naquib Al-Attas kemudiannya telah dipaksa bersara dari ISTAC setelah ia diambil alih sepenuhnya oleh IIUM.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan